Budaya cah keting dalam mana-mana parti politik sukar diuruskan kerana terdapat pemimpin yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan ramai penyokong, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.

Ibrahim berkata, pemimpin yang mempunyai penyokong dan sumber kewangan itu digelar warlords jika melakukan sabotaj kepada parti atau cah keting akan memberi kesan dan boleh menyebabkan calon yang dipilih oleh partinya tewas dalam plihanraya.

Katanya, cah keting kini semakin sukar diuruskan kerana ia telah menjadi budaya dan perkara ini sering berlaku ketika tiba musim pilihanraya.

"Satu kawasan parlimen ada satu parlimen ada tiga dun paling tinggi empat dun, pemimpinnya ramai dalam parti berkenaan semua nak jadi calon.

"Bercakap nak bela agama, nak bela bangsa nak bela rakyat, itu bercakap tetapi bila sampai time tak jadi calon mula lah buat sesuatu yang tidak baik.

"Dan ini bukan saja terlibat parti politik tertentu semua parti politik"

Ibrahim sebelum ini mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di kerusi parlimen Pasir Mas dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tendong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Beliau mula bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum tahun 2004 selepas digugurkan dari jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi presiden parti dan baru mengambil alih pentadbiran negara dari Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 2008, Ibrahim menyertai PRU12 sebagai calon yang menggunakan logo Pas namun tidak menyertai parti itu sebaliknya bersifat kritikal terhadap parti tersebut.