Pemilihan Budiman Mohd Zohdi dan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah tepat kerana mereka mampu menggalas tanggungjawab dan memastikan kelangsungan perjuangan BN untuk rakyat.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Budiman ialah seorang anak tempatan yang menjadi wakil golongan muda untuk bersama-sama dalam mempertahankan BN.

"Mastura pula tidak asing dengan rakyat Kuala Kangsar dan tentunya amat memahami bagaimana tugas seorang pemimpin kerana beliau sentiasa menemani Allahyarham suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad berkhidmat untuk rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata pemilihan kedua-dua calon itu merealitikan hasrat anggota akar umbi yang mahukan pucuk pimpinan parti mengetengahkan orang muda daripada kalangan anak tempatan serta calon wanita yang selama ini menjadi pendukung kuat kepada parti.

Budiman diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Besar oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di hadapan kira-kira 2,000 penyokong pada pelancaran jentera BN bagi PRK itu di Pusat Arahan BN di Sungai Panjang, Sungai Besar, Selangor semalam.

Hari ini Ahmad Zahid mengumumkan pula Mastura sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada satu majlis di Pusat Arahan BN, Resort Safari, Kuala Kangsar, Perak.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan serentak pada 18 Jun depan manakala penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.

Ia susulan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dan Anggota Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei lepas.