Rakyat Kuantan perlu membuka mata untuk tidak mengulangi kesilapan memihak kepada pembangkang pada dua pilihan raya umum (PRU) terdahulu, kata Ketua UMNO Bahagian Kuantan Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.

Beliau berkata pembangkang hanya boleh menawarkan 'janji popular' untuk meraih sokongan rakyat, walaupun pada hakikatnya mereka tidak mampu menyelesaikan banyak masalah rakyat.

Sebaliknya, kerajaan Barian Nasional (BN) sama ada di peringkat pusat atau kerajaan negeri yang akan bertungkus lumus menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat di daerah ini tanpa dipengaruhi sentimen politik.

"... sebab itu kami berterima kasih kerana kerajaan tak putus-putus memberi manfaat kepada kami walaupun kami kalah pada PRU. Pelbagai projek termasuk yang berskala besar dan bantuan diberikan kepada orang Kuantan.

"Semua menteri dan pemimpin parti sentiasa turun padang sehingga kami tidak berasa dipinggirkan. Janji kerajaan BN bukan janji kosong, apa yang dilakukan bukan pentas mencari populariti tapi untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

Wan Adnan berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Jentera PRU Parlimen Kuantan yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Padang Kemunting di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengerusi BN Pahang, Pengerusi MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohd Shakar Shamsuddin dan Pengerusi MCA negeri Datuk Ho Khai Mun.

Wan Adnan dalam ucapannya juga menyentuh kepada pelaksanaan projek kesejahteraan rakyat seperti projek tebatan banjir di Inderapura, perumahan rakyat di Kampung Pak Mahat dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Tanjung Lumpur yang dilaksanakan kerajaan.

Kerajaan juga tidak melupakan Kuantan dalam pelaksaan projek mega seperti Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur, pembesaran Pelabuhan Kuantan dan Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, katanya.

"Kami terpanggil untuk membalas jasa kerajaan. Sebab itu BN Kuantan tidak boleh berdiam diri. Kami perlu mengambil iktibar daripada kekalahan lama dan bersedia untuk menawan semula Kuantan.

"Saya yakin bukan hanya UMNO tetapi semua parti komponen BN sudah bertekad, satu suara dan satu muafakat untuk mengembalikan Parlimen Kuantan kepada BN... ini semangat yang tidak boleh dijual beli," katanya.

Sementara itu, Adnan dalam ucapannya mengingatkan anggota parti untuk berlapang dada dalam soal pemberian kerusi pada PRU akan datang kerana semua keputusan yang dibuat kepimpinan parti adalah untuk kemenangan BN.

Merujuk kepada kerusi Parlimen Kuantan, Adnan berkata anggota parti perlu mengimbas kepada sejarah pembahagian kuasa apabila Kuantan dipecahkan kepada dua, iaitu Indera Mahkota kepada UMNO, manakala Kuantan diberikan kepada MCA.

"Itu adalah persefahamannya. Apa yang saya cakap ini tidak popular tapi ini adalah apa yang kita amalkan. BN adalah parti yang bertolak ansur, bertimbang rasa dan adil kepada semua.

"Kita tidak mungkin boleh menang kalau tidak ada persefahaman antara kita. Kita buat keputusan dan pertimbangan yang terbaik untuk menentukan calon, tapi ingat bahawa semuanya adalah untuk kemenangan BN," katanya.

-- BERNAMA