Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan jawatan yang dipegangnya itu bukanlah batu loncatan untuk dirinya menjadi perdana menteri semula.

Najib berkata beliau menerima jawatan berkenaan atas rasa tanggungjawab semata-mata untuk mengukuhkan parti BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata keutamaannya kini adalah untuk mengukuhkan parti dan gabungan BN.

Justeru, beliau mengesa semua ahli BN agar bekerjasama dan terus bersatu dan tidak terus membuat kritikan sekiranya mahu BN terus kuat di masa depan.

"Saya nak nyatakan bahawa jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat ini bukanlah loncatan untuk menjadi PM. Ia berperanan untuk mengukuhkan parti... bagaimana untuk mengukuhkan Barisan Nasional dan parti komponen.

"Inilah semangat yang harus kita ada daripada kita mengkritik antara satu sama lain. Sesiapa yang boleh bagi sumbangan dan nilai tambah, dipersilakan," kata Najib.

Pada masa sama, Najib menepis dakwaan Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri bahawa pelantikannya itu akan menjejaskan kerjasama di antara UMNO dan Pas yang terjalin sekarang ini.

"Kalau Nazri kata pelantikan saya akan jejaskan kerjasama, Pas cakap sebaliknya. Ustaz Hadi dah kata bahawa ia tidak menjejaskan hubungan antara UMNO dan Pas dan kita masih ingat lagi bahawa Datuk Nazri sendiri menolak kerjasama dengan Pas tidak lama dahulu.

"Sebaliknya dia menggesa UMNO untuk bekerjasama dengan DAP dan ketepikan MCA serta MIC," kata Najib.

Tambah Najib, berdasarkan maklum balas yang diterimanya, antara sebab undi dalam kalangan masyarakat Cina merosot pada pilihan raya umum lepas adalah kerana ada segelintir masyarakat Cina tersinggung dengan kritikan melampau Mohamed Nazri terhadap Tan Sri Robert Kuok.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Santai Petang Bersama Bossku di Dataran Sembilang, Sungai Sembilang, Juru pada Ahad.