Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengumumkan kerusi Parlimen yang ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik beliau kembali dari Hong Kong, Rabu ini.

Bagaimanapun, ia bukan di Pulau Pinang, mahupun Kedah, Anwar akan bertanding.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Beliau membuat penjelasan itu selepas desas desus yang semakin kencang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding pada pilihan raya kecil nanti.

Ini sekaligus menyangkal khabar angin bahawa Anwar akan bertanding kerusi Parlimen di utara iaitu sama ada Parlimen Permatang Pauh atau Parlimen Sungai Petani.

Jelas Saifuddin lagi, dua daripada tiga kawasan Parlimen telah dikenalpasti oleh pemimpin tertinggi parti untuk diberikan kepada Anwar.

Kesemua kawasan yang dikenalpasti itu adalah kawasan yang mempunyai majoriti selesa dan berpotensi untuk dimenangi Anwar.

"Sehingga semalam ada tiga kawasan yang menjadi tumpuan dan dua kawasan telah disenarai pendek. Mungkin beliau (Anwar) akan tentukan mana satu semasa berada di Hong Kong. Tetapi tempatnya bukan di utara," jelas Saifuddin selepas meninjau premis kilang di Alor Setar, Kedah pagi tadi.

Saifuddin turut tidak menafikan ada kemungkinan tiga sekeluarga iaitu Anwar, isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak Nurul Izzah Anwar akan berada di Parlimen menjelang Oktober.

Nurul Izzah sebelum ini memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU14 menewaskan calon Barisan Nasional dan Pas dengan majoriti 15,668.

Manakala Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah menang di Parlimen Pandan dengan majoriti besar iaitu 52,543 menewaskan empat pencabar lain.