Nama Tok Mun atau nama sebenar Maimun Yusof, 99, yang pernah menjadi tular dan hangat diperkatakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu apabila wanita warga emas menjadi salah seorang calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu atas Parti Bebas.

Namun nadanya berbeza bagi pusingan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini apabila tidak lagi mahu turut serta dalam pertandingan ketika momentum pilihan raya sedang rancak bermula.

Astro AWANI berkesempatan berkunjung ke kediaman Tok Mun di Kampung Atas Tol Kuala Terengganu siang tadi bagi mengikuti perkembangan wanita yang telah dimamah usia dan pendengaran yang agak terbatas.


“Tok tidak hendak bertanding dah kali ini, tak cukup duit. Tapi kalau cukup duit Tok nak sahaja bertanding lagi. Lagipun simbol yang Tok hendak tu, mereka tidak bagi.

"Ada juga orang suruh bertanding lagi. Boleh menang katanya,” katanya.

Astro AWANI berkesempatan berkunjung ke kediaman Tok Mun di Kampung Atas Tol Kuala Terengganu siang tadi bagi mengikuti perkembangan wanita yang telah dimamah usia dan pendengaran yang agak terbatas. - Foto Astro AWANI/Raja Hisham Raja Zaid
Susuk tubuh tua itu mesra berbual dan masih ke sana ke mari mencari rezeki dengan menjual kain di sekitar daerah Kuala Terengganu.

Menceritakan pengalaman menjadi calon, Tok Mun juga tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dengan cara dan gaya bahasanya sendiri ketika PRU13.

“Kalau Tok menang besar, Tok nak buat rumah, pejabat dan lain-lain. Yang ada ni Tok nak roboh semua!"


Beliau juga berkongsi pengalaman bagaimana ada individu tertentu yang mengambil kesempatan ketika beliau berkempen pada pilihan raya yang lalu.

“Tok tampal sendiri poster. Lepas tu ada orang kata sanggup buat semua tu. Bila Tok bayar duit ingat dia buat kerja tampal poster semua tu. Dekat RM2,000 juga Tok bayar. Tetapi bila Tok periksa tak ada pun poster.”

Apapun insan ini harus dipuji kerana pernah menjadi individu yang menyemarakkan sistem demokrasi di negara ini.