Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menempelak dakwaan pihak tertentu yang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad 'tidak sayang' kepada rakyat Sabah susulan ketiadaan beliau di negeri itu sepanjang tempoh kempen PIlihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, dakwaan yang dibuat pelbagai pihak, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, itu disifatkan sebagai dakyah songsang pihak lawan, memandangkan Dr Mahathir kini sedang sibuk berkempen menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Semenanjung.

Jelasnya, meskipun diangkat sebagai calon Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir mengagihkan tugas dengan pihaknya dalam menumpukan perjuangan menentang parti lawan di Semenanjung dan Sabah.

"Bukan tidak sayang pada rakyat Sabah. Saya pun sudah bagi pandangan dengan Tun M, saya maklumkan dia harus menumpukan masa banyak di Semenanjung, di situ padatnya kerusi-kerusi UMNO. Kerusi UMNO di Sabah bukan banyak sangat berbanding Semenanjung.

"Jadi oleh keterbatasan, bukan hanya tenaga kita tetapi juga keupayaan, nak sewa helikopter pun tak boleh. Takkan Tun Mahathir nak naik turun dari lapangan terbang, dari Kota Kinabalu ke Pensiangan, ia mengambil masa.

"Saya lebih muda, maka dengan itu, elok Tun Mahathir tumpukan masa di Semenanjung dan saya tumpukan masa di Sabah," kata Mohd Shafie kepada Astro AWANI ketika ditemui di Semporna, hari ini.

Mohd Shafie akan mempertahankan kerusi Parlimen P. 189 Semporna yang disandangnya sebelum ini dengan menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Beliau akan ditentang oleh calon BN, Datuk Ramlee Marahaban, Asmara Asmad (Harapan Rakyat) dan Abdul Nasir Abdul Raub (PAS).

Sementara itu, Mohd Shafie juga akan menentang sepupunya, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran untuk merebut kerusi DUN N. 53 Senallang.

Mengulas mengenai momentum partinya pada hari terakhir kempen PRU14, Mohd Shafie optimis pihaknya berada di landasan tepat untuk membawa perubahan namun berharap proses pengundian esok berjalan lancar.

"Saya berharap sungguh, berdoa kepada Allah SWT, mudah-mudahan proses pengundian berjalan dengan baik, dan saya harap tidak akan berlaku perkara yang boleh menghalang mana-mana pihak untuk menunaikan hak mereka," tambahnya.