Bukannya sombong, tapi jangan pula 'over confident'.

Itu respon penyandang Parlimen Petra Jaya (P.194) Datuk Seri Fadillah Yusof, 56 tahun, mengenai kedudukannya yang boleh menang di kerusi tumpuan itu.

Kejayaan yang diperolehi selama tiga penggal dibantu menerusi semangat jentera Barisan Nasional (BN) yang disifatkannya sebagai kekuatan besar buat dirinya.

"Segala susun atur yang telah dibuat sebaiknya, sokongan PBB (Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak), BN dan komponen, InsyaAllah kita akan mencapai kejayaan. Bukannya sombong tapi bukan juga over confident, kita lihat kepada semangat jentera, tetapi InsyaAllah, BN boleh mengekalkan kerusi Parlimen Petra Jaya," katanya.

"Pilihan raya ini perlu berteraskan kepada berjuang atas dasar dan bukan atas apa yang berlaku di Semenanjung sana di mana berkempen melibatkan untuk membangkitkan perasaan 'hatred' dan sebagainya. Saya menyarankan pertandingan ini berasaskan perjuangan dasar," kata Fadillah.

Jelas Naib Pengerusi BN Sarawak itu lagi, keperluan dan kebajikan rakyat bukan sahaja diambil kira di dalam Parlimen Petra Jaya semata-mata, hal terbabit meliputi keseluruhanya.