Cadangan Pas Pahang yang berhasrat meletakkan 10 peratus calon bukan Islam untuk bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Menurut Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob, cadangan yang dikemukakan oleh Pas Pahang itu melibatkan negeri itu sahaja.

Katanya, walaupun kuasa diberikan kepada Pesuruhjaya Pas Negeri, untuk memilih calon berdasarkan keperluan kawasan, namun cadangan calon bukan Islam itu perlu dipertimbangkan di peringkat tertinggi parti supaya ia tidak bertentangan dengan perlembangaan parti.

“Cadangan Pas Pahang biasanya berbangkit dengan dasar kita bawa ke Majlis Syura untuk buat pertimbangan.

“Sesiapapun boleh cadang tapi diputuskan di Majlis Syura Ulama dari segi kelayakan saja.

“(Yang) memutuskan calon (adalah) peringkat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

“Majlis Syura akan lihat calon itu layak ke tidak, contohnya (calon hendaklah) tidak muflis, tidak berkaitan (kes) mahkamah, tidak melakukan dosa besar. Itu terpulang kepada Pas pusat,” ujar Ahmad.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Hududullah Peringkat Negeri di Dataran Ilmu pagi tadi.

Ahmad berkata di Kelantan, tiada keperluan untuk meletakkan calon bukan Islam bertanding samada di Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Pas Pahang yang bercadang meletakkan 10 peratus calon bukan Islam untuk bertanding di Parlimen pada PRU14 nanti.

Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata calon bukan Islam itu akan dipilih dalam kalangan Dewan Himpunan Penyokong Pas.