Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Semalaysia (Pas).

Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya P.044 Permatang Pauh Mohd Ali Sebran membuat pengumuman rasmi nama calon bertanding kira kira jam 12 tengah hari Sabtu.

Bagi kerusi Parlimen, calon BN, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, 49, menentang calon PKR, Nurul Izzah Anwar, 38, dan Afnan Hamimi Taib Azamudeen, 37, dari Pas.

Manakala bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin (BN) akan menentang Afif Bahardin (PKR) dan Ahmad Rafaie A. Rashid (Pas).

Bagi kerusi DUN Permatang Pasir, Anuar Faisal Yahaya dari BN akan bertemu Mohd Faiz Fadzil dari PKR dan Mohd Fauzi Yusoff dari Pas.

Sementara, kerusi DUN Penanti pula, Suhaimi Sabudin (BN) akan melawan Norlela Ariffin (PKR) dan juga Fawwas Mat Jan (Pas).

Terdahulu, kesemua mereka telah menyerahkan borang percalonan masing-masing di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Pertembungan 'kerusi panas' Permatang Pauh menyaksikan penampilan sulung, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi yang akan bertemu lawannya, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Nurul Izzah yang juga pertama kali bertanding di Permatang Pauh menggantikan ibunya, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang bertanding di kerusi Parlimen Pandan pada PRU kali ini.

Pas pula meletakkan calon mudanya, Afnan Hamimi yang diyakini dapat merampas semula kerusi itu selepas memenanginya 40 tahun lepas.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh disandang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menewaskan Suhaimi Sabudin (BN-UMNO) dengan majoriti 8,841 undi pada pilihan raya kecil Mei 2015.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU14 diadakan pada 9 Mei depan.