Calon Barisan Nasional (BN) kerusi N.53 Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh terkejut apabila mendapat tahu salah seorang calon bebas, Watson Bangau Anak Jonathan Renang bakal bertanding bagi merebut kerusi berkenaan dalam pertandingan lima penjuru.

Ini kerana Wong mendakwa Watson adalah Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi cawangan Bawang Assan.

PBB merupakan antara parti komponen utama BN di Sarawak yang dipimpin oleh Presidennya, Tan Sri Adenan Satem.

"Saya diberitahu bahawa Watson Bangau adalah Pengerusi PBB bagi cawangan Bawang Assan. Itu adalah satu kejutan bagi saya kerana saya beranggapan sebagai parti komponen BN, kita sepatutnya bekerjasama tetapi saya tidak tahu mengapa Watson tampil untuk bertanding sebagai calon bebas bagi menentang calon BN," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon N53 Bawang Assan di Dewan Suarah Sibu.

Bawang Assan bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru daripada BN, DAP, STAR dan dua calon bebas.

Mereka adalah calon langsung BN, Datuk Seri Wong Soon Koh (penyandang kerusi Bawang Assan), calon DAP - Chiew Sung Ngie (muka baru) dan calon dari STAR pula, Wong Sing Wei (Naib Presiden STAR).

Sementara itu, dua calon bebas adalah Yeu Bang Keng dan Watson Bangau.

Wong juga melahirkan kekecewaan terhadap tindakan Watson kerana beliau memang mengenali calon bebas itu secara peribadi.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Wong bakal berdepan laluan sukar kerana bertanding sebagai calon langsung BN di kerusi tradisi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), katanya pengundi di Bawang Assan sudah lama mengenali beliau yang juga Menteri Kewangan Kedua itu.

"Pengundi sini sudah kenal saya dan saya juga ahli jemaah menteri dalam kerajaan negeri. Mereka kenali saya sebagai orang Barisan Nasional dan anggota pasukan Adenan. Jadi tidak ada kekurangan di situ. Malah saya yakin dapat mengekalkan kemenangan di kerusi ini untuk BN," katanya.

Pada 2011, Wong menang di DUN Bawang Assan atas tiket SUPP.

Namun pada 2014, akibat krisis dalaman parti, Wong bersama beberapa ADUN keluar daripada SUPP bagi membentuk parti serpihan iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) di mana beliau menjadi Presiden.

Wong kemudiannya meletakkan jawatan dan keluar daripada parti itu bagi melayakkannya bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 sebagai calon langsung BN.

Ini pasti menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan penyokong SUPP termasuklah UPP sendiri.

Rata-rata kerusi Sibu adalah kerusi SUPP namun kerusi seperti Bawang Assan dan Dudong diberikan kepada calon langsung dari UPP.

Pada PRN ke-10 lalu, Wong meraih sebanyak 7,316 undi berbanding calon DAP ketika itu, Alice Lau yang meraih 5,508 undi.

DUN Bawang Assan mempunyai 18,340 pengundi dengan 55.1 peratus adalah pengundi Cina.