Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mengumumkan lapan calon Parlimen dan 18 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri Sabah untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pencalonan kali ini menyaksikan 26 kerusi yang akan dipertandingkan di peringkat DUN dan Parlimen.

Tambahnya, beliau positif untuk melihat kemenangan Pas di Sabah biarpun hanya memenangi bilangan kerusi minoriti.

"Sekurang-kurangnya satu kerusi lah, itu yang kami harapkan.

"Selain itu, kami turut menampilkan dua calon wanita dimana seorang daripada mereka merupakan muka baharu.

"Justeru kita yakin untuk melihat pemerintahan di Sabah sejajar dengan ajaran Islam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengumumkan penamaan calon Pas Sabah di sebuah hotel di sini, pada Ahad.

Sementara itu, pencalonan kali ini turut menyaksikan seorang calon bukan Islam, Satail Majungkat, 61, yang bakal bertanding di kerusi DUN Kadamaian.

Jelas Abdul Hadi, pencalonan bukan Islam merupakan yang pertama kali berlaku di Sabah sepanjang pilihan raya yang pernah diadakan sebelum ini.

"Kita telah berjaya memecahkan tembok yang memisahkan kita dengan orang bukan Islam.

"Kita terima ramai permohonan daripada rakyat yang bukan Islam untuk menjadi ahli parti kita.

"Kami (Pas) turut menubuhkan Dewan Himpunan penyokong pada kalangan bukan Islam di Sabah dan Sarawak," tambahnya.

Sementara itu, Satail ketika ditemui berkata, beliau yakin akan membawa kemenangan Pas ke atas kawasan di mana beliau dicalonkan.

Satail yang lebih lapan tahun menjadi ahli Pas sebelum ini menyuarakan hasratnya untuk membawa perubahan rakyat dari segi ekonomi.

"Saya akan tekankan pemerintahan saya dari segi ekonomi dimana kebanyakan rakyat di kawasan saya mempunyai tanggungan yang tinggi.

"Justeru, kos sara hidup mereka juga tinggi dan saya akan memastikan setiap kebajikan mereka terjaga," katanya.

Tambahnya, pencalonan beliau sebagai ahli bukan Islam diharap dapat membuka mata masyarakat bukan Islam di negeri ini untuk menerima parti tersebut yang dianggapnya sebagai parti yang jujur memimpin negara.

"Saya lihat kepimpinan parti ini lebih sihat daripada parti yang lain-lain dari segi ketuhanan.

"Kepimpinan itulah yang saya kagum dan parti ini tidak hanya memfokuskan kepada orang Islam sahaja bahkan orang bukan Islam juga.

"Saya harap pengundi-pengundi bukan Islam bersama dengan saya untuk mengundi parti ini," katanya.


Senarai Penuh Calon PAS untuk PRU14 di Sabah

Parlimen

P169 Kota Belud: Ag. Laiman Ikin
P170 Tuaran: Mohd Aminuddin Aling
P173 Putatan: Zulzaim Hilmee Abidin
P185 Batu Sapi: Norsah Bongsu
P188 Silam: Ramli Pataruddin
P189 Semporna: Abdul Nasir Ab Raub
P190 Tawau: Mohamad Hussain
P191 Kalabakan: Norbin Aloh

Dewan Undangan Negeri (DUN)

N2 Tanjung Kapor: Aliasgar Omolong
N3 Pitas: Dausieh Queck@Paraman
N6 Tempasuk: Mustaqim Aling
N7 Kadamaian: Satail Majungkat
N8 Usukan: Adzmin Awang
N12 Karambunai: Aspar Oyer
N17 Tanjong Aru: Hamid Ismail
N43 Sekong: Sahar Abdul Majid
N44 Karamunting: Norsah Bongsu
N47 Kuamut: Jumaidin Lakalla
N51 Kunak: Kasman Karate
N52 Sulabayan: Abdul Nasir Ab Raup
N54 Bugaya: Mahamod Sarahil
N55 Balung: Amboase Ramano
N56 Apas: Daud Jalaluddin
N58 Merotai: Ahmad Dullah
N59 Tanjong Batu: Usman Madeaming
N60 Sebatik: Roslan Ramli

Jumlah Parlimen: 8 Kerusi
Jumlah DUN: 18 Kerusi
Jumlah Keseluruhan Kerusi Dipertandingkan: 26 kerusi