Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak campur tangan terhadap sebarang keputusan yang dibuat Pegawai Pengurus (RO) semasa proses penamaan calon.

Menurut Penasihat Undang-Undang SPR, Azizan Arshad, RO yang dilantik telah diberi kuasa untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Dalam proses pengundian, kita ada peringkat-peringkat tertentu. Bagi proses untuk penamaan calon semalam, apabila RO telah dilantik, maknanya beliau telah diberi kuasa oleh undang-undang.

"Apabila beliau putuskan pada masa itu adalah keputusan yang beliau buat dan kita SPR tidak campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh RO kerana apabila RO dilantik, kuasa diberikan kepada beliau mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Kita tidak akan campur tangan," katanya semasa menjadi tetamu Malaysia Memilih 2018 di Astro AWANI hari ini.

Justeru SPR menafikan bersikap diskriminasi dan berat sebelah kepada mana-mana parti sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

"Bagi kami, RO adalah yang telah dilantik dan kami akan melihat kes ini dan kita tetap akan mempertahankan tindakan-tindakan yang dibuat selagi mana ia berlandaskan undang-undang kerana kita tidak ada double standard dalam apa-apa sekalipun," tambahnya.

Semalam, SPR menolak penamaan 11 calon dari parti politik yang bertanding pada PRU14.