Hari Pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sedikit terjejas apabila terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengganggu beberapa calon yang bertanding hari ini.

Telefon bimbit milik beberapa orang calon daripada kem Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah diganggu dengan panggilan yang tidak dikenali dipercayai daripada luar negara.

Bukan saja panggilan, sistem pemesejan di telefon bimbit mereka juga tidak henti-henti dibanjiri spam.

Calon daripada Parlimen Sepanggar, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mewakili BN sempat kongsikan satu video yang dimuat naik melalui akaun Twitter miliknya mengenai telefonnya menerima banyak panggilan daripada luar negara.


Beliau mendakwa beberapa pemimpin tinggi BN 'diserang' panggilan telefon bertalu-talu setiap 10-15 saat ketika ditanya oleh seorang wartawan Astro AWANI.


Datuk Seri Azalina Othman yang bertanding di Parlimen Pengerang juga turut menerima panggilan berkali-kali daripada luar negara pada pagi tadi.


Sementara itu, bagi kem Pakatan Harapan (PH) mereka juga tidak terkecuali menjadi mangsa panggilan palsu.

Calon Parlimen Bagan dan DUN Air Puteh, Lim Guan Eng, beliau telah diserang panggilan palsu itu pada awal pagi hari ini.

“Kali ini semua kena, bukan sahaja pemimpin tapi petugas-petugas utama di setiap stesen daerah juga kena dan sekali gus telah menyebabkan hubungan dengan Ketua Daerah Mengundi terputus,” kata beliau dalam satu kenyataan.


Bagi calon Lembah Pantai pula, Fahmi Fadzil, beliau bukan sahaja menerima panggilan palsu malah diserang e-mel palsu yang masuk secara bertubi-tubi.


Calon Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa, Datuk Sri Azmin Ali turut mendakwa telefon bimbit beliau digodam dengan panggilan dan emel palsu.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, pihak polis sedang menyiasat panggilan telefon misteri berkenaan dan mengenal pasti pihak yang melakukan kegiatan itu.