Calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Wong Siew Ki membuat laporan polis berhubung tuduhan merosakkan bahan kempen lawannya calon MCA Tan Chee Teong.

Dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang itu, Siew Ki mendakwa kenyataan ahli perniagaan itu mempunyai unsur fitnah dan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat.

“Calon MCA Chee Teong telah membuat sidang media dan siaran langsung Facebook pada 25 Ogos lalu sekitar jam 1.45 petang di Kampung Baru Kwan Tung Sg Chua Kajang mengatakan pihak calon Pakatan Harapan telah mencabut bahan kempen mereka.

“Tajuk video tersebut bagaimanapun telah dipadamkan tidak lama selepas itu dan kenyataan beliau mempunyai unsur fitnah. Saya meminta pihak polis untuk melakukan siasatan terhadap perkara itu,” kata beliau dalam laporan tersebut.

Semalam, Chee Teong berang apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab melakukan sabotaj dengan merosakkan hampir 100 poster dan sepanduk kempennya di Kampung Kwan Tung Baru, Sungai Chua.

Beliau berkata poster berkenaan hanya mengutarakan masalah-masalah rakyat di kawasan itu dan mempersoal rasional tindakan menurun dan merosakkan poster kempennya.

“Mengapa nak ada budaya samseng? Tindakan ini merosakkan sistem demokrasi dan pilihan raya yang sedang diamalkan di negara ini,” katanya.