Pakatan Harapan memberi keutamaan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berbanding meletakkan calon perdana menteri, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata, siapa sahaja boleh dicalonkan untuk menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan memenangi PRU14.

"Menang dulu, lepas tu siapa-siapa pun boleh jadi PM. Anda (wartawan) nak jadi PM pun boleh," katanya ketika sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Pada Isnin Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan mencadangkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua sebagai calon perdana menteri muda mereka.

Menurutnya itu lebih baik daripada mengembalikan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

"Bukan saya hendak perkecilkan mana-mana pihak dan sesiapa sahaja boleh jadi perdana menteri.

"Tapi cukuplah 22 tahun..macamlah tiada pemimpin dalam pembangkang yang boleh menjadi perdana menteri.

"Letak calon berusia 92 tahun dan banyak kontroversi sebagai calon perdana menteri..untuk menang pilihan raya dan ia nampak terdesak sangat. Tidak semestinya.. Tony Pua dan Rafizi juga boleh jadi perdana menteri," katanya.