Timbalan Ketua Wanita MIC, T. Thangarani yang merupakan calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong mencabar calon lawannya, A. Sivasubramaniam untuk berdialog mengenai isu kemampuan golongan wanita menjadi pemimpin.

Thangarani mendakwa, cabaran itu dibuat selepas Sivasubramaniam dari DAP memperlekehkan keupayaan beliau sebagai calon wanita yang bertanding bagi kerusi N30 itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Dalam ceramah dia Isnin lalu, dia telah memperlekehkan saya dengan mengatakan kenapa BN menghantar seorang wanita untuk mencabar dia dan kata ‘tidak ada orang lain ke?’.

“Sebagai seorang wanita, ibu dan juga guru saya rasa teramat kecil hati dengan tuduhan itu. Jangan perkecilkan kaum wanita. Adakah ini bermaksud ibu, adik, kakak dia dan wanita lain tidak layak jadi pemimpin?” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Rabu.

Justeru kata beliau, kini terpulang kepada penyandang kerusi Buntong itu sama ada bersetuju atau tidak dengan pelawaannya itu untuk mengadakan dialog.

“Saya boleh berdialog kalau beliau hendak, saya sanggup demi menegakkan pembangunan Buntong dan juga golongan wanita lain.

“Saya tidak memperkecilkan kaliber beliau namun saya tahu kemampuan dan kehebatan serta kaliber saya. Jangan sesekali memperkecilkan kaum wanita, beliau ada seorang lelaki pelampau (male-chauvinist)” ujarnya.

Dalam sidang media sama, Thangarani turut mengumumkan manifestonya sendiri dengan mengariskan lima teras merangkumi memperkasakan golongan wanita, hebatkan belia, transformasi Buntong, penempatan dan pelancongan.

Sahut cabaran

Sementara itu, Sivasubramaniam ketika dihubungi Astro AWANI berkata, tuduhan yang dibuat calon BN terhadapnya adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas.

“Itu tidak benar, minta dia (Thangarani) buktikan (tuduhan itu).

“Dalam ceramah itu jelas saya katakan tidak ada calon lelaki untuk MIC di Ipoh Barat namun saya masih menghormati calon wanita,” katanya ketika dihubungi.

Namun dalam masa sama, beliau tetap menerima cabaran Thangarani untuk berdialog mengenai isu tersebut.

“Tanya dia di mana lokasi berdialog itu nanti,” tambahnya.

Sivasubramaniam merupakan penyandang kerusi DUN Buntong sejak 2008. Pada PRU13, beliau mengalahkan calon dari MIC, C. Sivarraajh dan dua lagi calon bebas dengan majoriti 8,629.

Turut bertanding di kerusi DUN itu pada PRU14 nanti adalah R. Mohanarani dari PSM.