KUALA LUMPUR :Keputusan  untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah terpaksa dibuat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengikut Perlembagaan selepas kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, bagaimanapun berkata, kesannya terhadap kesihatan serta keselamatan rakyat berikutan situasi semasa COVID-19 ketika ini mungkin boleh dikurangnya jika semua pihak bekerjasama.

"Tidak dapat tidak, PRK Parlimen Bukit Sapi jika dilaksanakan dalam tempoh terdekat mempunyai risiko penyebaran COVID-19 yang amat tinggi kepada kesihatan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat.

"Semoga ada pilihan yang lebih baik melalui pendekatan 'taawun' (bekerjasama) semua pihak demi 'maslahat' (faedah) kepentingan rakyat yg lebih besar dalam tempoh yang kritikal sekarang.

"Justeru perbincangan dalam mencari mekanisme terbaik bagi mengimbangi keperluan kedua-dua kepentingan untuk negara itu (PRK dan mengekang penyebaran COVID-19) perlu segera dicari agar ia boleh dilaksanakan dengan bijaksana tanpa memperjudikan nyawa dan keselamatan rakyat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

SPR pada Selasa menerusi satu kenyataan memaklumkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 6 Oktober berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah berikutan kematian Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

Justeru selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan satu PRK bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut

Bagaimanapun, isu itu diperdebatkan di media sosial berikutan pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang baru berakhir yang telah menyebabkan peningkatan mendadak kes COVID-19.

Sabah juga turut menjadi lokasi tercetus beberapa kluster baharu yang menyaksikan kesan jangkitannya merebak sehingga ke Semenanjung.

Mengulas lanjut, Amzad berkata, kedudukan Batu Sapi yang terletak di Sabah lebih meningkatkan risiko penyebaran jangkitan COVID-19 jika PRK diadakan.