UMNO akan mendapatkan pandangan pakar ekonomi, pendidikan, wanita dan agama sebelum membentangkan usul kluster masing-masing menjelang Perhimpunan Agung UMNO Disember ini.

Pengerusi Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesimpulan perbincangan akan dibentangkan untuk ditambah baik dan dimurnikan dengan matlamat usul yang bakal dicadangkan semasa Perhimpunan Agung UMNO mampu direalisasikan.

"Ia diharap dapat menjadi polisi dan dasar yang dapat membela kepentingan agama Islam dan Melayu secara keseluruhannya.

"Setiap kluster telah memperincikan dan menambah baik usul melalui pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan berkaitan bidang masing-masing," katanya semasa ucapan aluan Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Lebih 600 individu daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran terlibat dalam Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah yang julung kali diadakan tahun ini.

Konvensyen itu juga merupakan inisiatif baharu yang diperkenalkan Jawatankuasa Penyediaan Usul Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam pada itu kata Asyraf, peserta konvensyen kali ini terdiri daripada individu yang pakar dan arif dalam bidang masing-masing.

"Mereka ini termasuk dari pertubuhan bukan kerajaan, golongan profesional, pensyarah dan cendekiawan, persatuan belia, tokoh-tokoh korporat, pihak swasta, pentadbir agensi serta pihak berkepentingan Melayu.

"Pendekatan ini membuktikan UMNO bukan parti bersifat eksklusif tetapi inklusif khususnya dalam menghargai dan mengiktiraf pandangan pelbagai pihak di luar parti dalam memperkasakan UMNO," jelasnya.

Ujarnya, resolusi yang diperoleh kelak akan diangkat sebagai usul untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO selepas menerima usul daripada 191 Bahagian UMNO seluruh negara.

"Kita tidak mahu peranan dan tanggungjawab UMNO sendiri dalam memperkasa agenda ummah terpesong dari landasan asal penubuhan parti," katanya.

Antara panel Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah; Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Malaysia, Dr Yusri Mohammad.