Semua 22,000 cawangan UMNO seluruh negara diminta menubuhkan Jawatankuasa Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial bagi memperkuat jentera menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Biro IT dan Media Sosial UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, penubuhan biro itu penting bagi menangkis setiap serangan pembangkang menerusi alam maya.

Beliau berkata, pada PRU13, Barisan Nasional (BN) tewas beberapa kerusi akibat fitnah yang disebarkan menerusi media sosial.

"Kali ini (PRU14), jika ada timbul lagi isu seumpanya, kita ada jentera yang boleh balas balik dengan menyatakan ia fitnah atau cerita palsu. Dalam tempoh sejam dua, boleh dineutralkan di semua peringkat dari Perlis ke Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Biro IT dan Media Sosial bahagian Ipoh Timur dan Ipoh Barat di Bangunan UMNO di sini, hari ini.

Setakat ini, Ahmad berkata, terdapat 191 jawatankuasa Biro IT dan Media Sosial ditubuhkan di peringkat bahagian dengan mempunyai 40 individu bagi setiap bahagian.

"Kalau boleh sepanjang bulan Januari tahun depan, kita sudah selesaikan penubuhan Biro IT di peringkat cawangan supaya menjelang PRU14 maklumat dapat sampai sehingga ke peringkat cawangan," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, antara peranan utama Biro IT dan Media Sosial adalah menyebarkan perkara positif mengenai kerajaan peringkat Persekutuan serta negeri.

Penyebaran itu katanya, termasuk melalui media media sosial seperti youtube, blog, twitter, facebook menerusi enam kaedah iaitu infografik, video pendek, poster, karikatur, keratan akhbar dan tulisan pendek.

-- BERNAMA