Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini masuk hari keempat pada Selasa, namun suasananya masih dianggap 'sunyi'.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata suasana sedemikian sudah dijangka kerana PRK berlangsung dalam normal baharu.

"Saya setuju PRK kali ini sunyi dan tenang disebabkan pendemik COVID-19. Tapi sebenarnya kempen tetap berjalan dengan calon BN turun berkempen.

"Cuma kempen jalan (fizikal) dengan sangat minimum dan tidak seperti dulu. Suasana pilihan raya itu tetap ada walaupun pergerakan agak terhad disebabkan kena patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak boleh berkumpul ramai," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar, berkata jentera PRK BN juga tidak besar seperti biasa untuk bertemu pengundi di kawasan itu.

Ujarnya, suasana pilihan raya yang tenang tidak bermakna jentera BN kurang bertemu pengundi, sebaliknya setiap pertemuan dilakukan dengan berhati-hati bagi mematuhi SOP.

Jelasnya, sehingga kini calon BN telah bertemu 30 hingga 40 peratus pengundi di kawasan itu.

"Beliau akan terus bergerak dengan mematuhi syarat SPR. Kita tidak buat kempen besar-besaran kerana maksimum hanya 250 orang sahaja. Kita tumpu bergerak dari ke rumah," katanya.

Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain terus dilihat berkempen dari rumah ke rumah bertemu pengundi di Kampung Salong pada Selasa.

Langkah yang sama diambil calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin. Bagaimanapun, seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli mengambil keputusan hanya berkempen melalui media sosial.