Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Chong Sin Woon masih belum menerima kata putus dari Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan Teo Kok Seong berhubung sesi debat antara mereka.

Chong, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata surat peringatan terakhir telah dihantar kepada Teo, yang juga merupakan anggota Parlimen Rasah, pada Selasa lepas dan memberi tujuh hari untuk pihak Teo membalas suratnya.

"Saya bersedia untuk berdebat dengan mereka dan fakta-fakta untuk topik debat, iaitu pendidikan dan prestasi dua ADUN DAP di kawasan Lobak dan Temiang, juga telah saya siapkan.

Saya juga tetapkan tiga syarat untuk debat ini iaitu debat ini mestilah tiga lawan tiga, sesi debat itu tidak diadakan di hadapan penyokong kedua-dua pihak sebaliknya disiarkan secara langsung melalui FB Live dan hujah-hujah yang disampaikan mestilah dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Mandarin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Anugerah Akademik Terbilang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampangan, di sini hari ini.

Chong berkata beliau, Ketua MCA Bahagian Seremban Siow Koi Voon dan Ketua Biro Perundangan MCA Ng Kian Nam akan mewakili parti.

"Untuk DAP, selain Teo, saya minta ADUN Lobak, Siow Kim Leong dan ADUN Temiang Ng Chin Tsai, untuk berdebat sama kerana isu yang saya bangkitkan ialah berkenaan prestasi buruk dua ADUN ini di kawasan mereka, tetapi Teo pula yang menyibuk nak berdebat dengan saya.

"Saya terima (cabaran debat) dan anda tidak boleh biar kedua-dua (ADUN Lobak dan Temiang) menghilangkan diri," katanya.

Chong berkata pihaknya telah menetapkan sesi debat itu diadakan pada 4 Ogos pukul 8 malam di Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan, dekat sini.

"Tetapi Teo ni sampai hari ni tak balas surat saya, penyelaras yang mereka lantik pun tak pernah berjumpa dengan penyelaras kita.

"Jika dia (Teo) tak balas (surat), maknanya dia tak berani nak berdebat dan tak ikhlas. Motif dia juga sangat jelas iaitu meraih publisiti murahan dan mempertahankan ADUN Lobak dan Temiang yang tak buat kerja," katanya.

-- BERNAMA