Teka-teki siapa pilihan yang paling wajar Lim Guan Eng untuk menggantikan beliau sebagai Ketua Menteri hampir terjawab hari ini.

Lim berkata Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow menjadi pilihan semula jadi untuk menggantikan beliau jika apa-apa berlaku ke atasnya.

Lim bagaimanapun berkata, semuanya terserah kepada parti untuk membuat keputusan sama ada Chow adalah orang yang akan menggantikan beliau.

"Jadi jika apa-apa berlaku kepada saya, saya fikir keputusan muktamad akan diputuskan oleh parti tetapi Chow pasti menjadi pilihan semula jadi saya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka Majlis Perbandaran Seberang Prai di sini hari ini.

Chow selaku Pengerusi jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan banjir negeri telah disebut-sebut untuk menggantikan Lim sebagai Ketua Menteri jika Lim didapati bersalah atas pertuduhan rasuah.

Sementara itu, Chow yang turut hadir pada majlis itu berkata beliau sentiasa percaya bahawa keputusan itu terserah kepada parti dan pada masa ini, ia masih terlalu awal untuk memutuskan apa-apa mengenainya.

"Kita perlu memberi respon kerana ia mendapat perhatian media, jadi saya rasa ini adalah respon yang kita boleh berikan," katanya.