Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyedari keputusan buruk pilihan raya umum ke-12 dan ke-13 yang lepas adalah berpunca daripada kegagalan Barisan Nasional (BN) mengurus politik persepsi khususnya daripada pengundi kaum Cina.

Bagaimanapun ujarnya, kejayaan kerajaan Sarawak dalam menangani masalah politik persepsi ini harus dicontohi dan merasakan persepsi pengundi Cina di Sarawak telah mula berubah ke arah positif.

Namun begitu, tambah beliau, BN perlu sentiasa bersedia memandang kewujudan medium komunikasi terkini yang membolehkan pihak pembangkang membuat ‘serangan saat akhir’ walaupun pendekatan dalam mengurus dan menangani masalah persepsi dalam kalangan pengundi Cina ini berjaya diubah kearah lebih positif.

"Dalam PRU12 dan 13 saya harus mengakui bahawa BN gagal mengurus persepsi, oleh yang demikian pendekatan untuk menangani dan mengurusi persepsi ini harus diubah.

“Saya yakin kejayaan di Sarawak yang diberi kesinambungan kepada Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ialah merupakan satu kaedah yang harus dicontohi,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontigen negeri Sarawak.


Katanya, pada pilihan raya akan datang, BN harus bijak mengurus situasi berkenaan agar kegagalan sama tidak berulang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berpuas hati dengan persiapan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontigen Sarawak untuk menghadapi PRU14.