UMNO Terengganu tiada pilihan melainkan perlu menangani permasalahan dalam parti itu jika mahu menang selesa di negeri tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Itu tegas dan nasihat orang lama dalam UMNO Terengganu yang juga merupakan bekas Menteri Besar paling lama iaitu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Jelasnya perkembangan mutakhir UMNO Terengganu 'kurang sihat' jika dibandingkan ketika eranya dahulu terutama dari sudut masalah dalaman parti.

Malah ujar beliau, krisis 'dalam kain' UMNO Terengganu itu sehingga ke tahap terbuka dan diketahui umum.

"Saya sendiri hairan dan pelik. Entah apa yang sebenarnya mereka rebutkan. Zaman saya dahulu tidak ada masalah dalaman besar seperti itu sehingga menjejaskan kestabilan parti.

"Musuh kita dahulu cuma satu iaitu Pas sahaja. Sekarang ni nampaknya UMNO Terengganu bukan hanya berdepan pertembungan tiga penjuru tetapi empat penjuru iaitu termasuk musuh dalaman sendiri," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Tambah Veteran UMNO yang pernah menjawat jawatan Naib Presiden parti, pemimpin UMNO Terengganu perlu lebih berhati-hati kerana banyak tugas yang perlu diambil untuk mengembalikan kepercayaan rakyat selepas apa yang berlaku.

Katanya, umum mengetahui masalah pucuk pimpinan mereka dengan istana dan sebagainya sebelum ini.

Sehubungan itu, nasihat beliau, UMNO Terengganu perlu bersatu hati dan memperbaiki imej mereka yang pernah tercalar sebelum ini.

"Kita sebagai Menteri Besar di sebuah negeri perlu faham, istana tidak pernah masuk campur dalam urusan pentadbiran. Cuma kadang-kala mereka perlukan penjelasan dan kita perlu jelaskan dengan baik, tertib dan beradab," katanya.

Krew Astro AWANI sempat bertemu beliau yang kini mencecah usia hampir 90 tahun di kediaman anaknya nyata tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dengan perkembangan yang berlaku.

Walaupun telah lama meninggalkan dunia politik yang dicintainya namun beliau masih lagi melihat dari jauh perkembangan UMNO dan negeri Terengganu yang sentiasa dihatinya.

"Masa saya dahulu jika ada masalah di mana-mana bahagian Umno di Terengganu saya akan panggil dan selesaikan segera. Jangan biarkan sesuatu isu berlanjutan.

"Tidak timbul masalah 'beteh keting' dalam parti. Siapapun yang dipilih sepatutnya dipersetujui dan ditaati," nasihatnya di akhir perbualan.