“Dahulunya dia kawan tetapi sekarang dia lawan. Tetapi tidak sedikitpun menggentarkan saya malah akan terus lawan.”

Itu luahan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz yang kemungkinan bakal berhadapan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) akan datang.

Menurut Othman Aziz, beliau tidak gentar berhadapan Mukhriz Mahathir jika dicalonkan oleh pihak kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kawasan itu.

Jelasnya, sebagai penyandang Ahli Parlimen Jerlun, beliau sudah melakukan tugas sebaik mungkin untuk membantu rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya hairan kenapa beliau (Mukhriz Mahathir) tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam, mungkin juga atas prestasi beliau atau tidak yakin mempertahankan kerusi itu,” kata Othman Aziz ketika ditemu bual Astro AWANI.

Bagaimanpun Othman berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada rakyat untuk membuat penilaian kepada wakil rakyat BN di kawasan itu.

Beliau yakin pengundi di kawasan itu bijak menilai kerana mereka memerlukan wakil rakyat yang boleh diharap dan dapat bekerja sepenuh masa.

Beliau turut mengalu-alukan Mukhriz Mahathir untuk bertanding di kawasan itu tetapi seseorang yang bertanding perlulah mempunyai komitmen yang tinggi, mampu memberi perkhidmatan terbaik, dan menjiwai rakyatnya.

Selain bertanding di Parlimen Jerlun, Mukhriz turut diletakkan sebagai calon untuk bertanding di DUN Jitra.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan kepada petani di kawasan Muda di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) C-III Tajar dekat Alor Setar, pagi tadi.

Pada majlis itu, seramai 889 petani menerima bantuan wang ihsan berjumlah RM973,686 selepas tanaman padi mereka rosak akibat banjir pada November tahun lalu.