DAP tidak akan mampu menghancurkan kaum Melayu, seperti mana yang sering didakwa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sewaktu membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, dakwaan itu hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan orang Melayu supaya menolak Kerajaan Pakatan Harapan.

Dakwa Dr Mahathir lagi, ia juga bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan, agar membolehkan Najib menjadi sebahagian kerajaan yang baharu, dan seterusnya memastikan beliau akan terlepas dari pendakwaan di mahkamah.

“Kita semua tahu bahawa di waktu Najib menjadi Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Gani Patail dibuang dan diganti dengan Peguam Negara yang kemudian mendakwa Dato Sri Najib tidak bersalah dalam kes 1MDB. Demikian salah guna kuasa yang dilakukan oleh Najib sebagai Perdana Menteri.

“Tentulah menjadi harapan Datuk Seri Najib, apabila ia berada dalam Kerajaan, Peguam Negara baharu akan dakwa bahawa tidak ada kes terhadap dirinya.

“Maka dengan hasrat untuk kembali berada dengan Kerajaan. Najib mendakwa bahawa DAP akan hancurkan orang Melayu jika berada dalam Kerajaan. Dakwaan ini tidak berasas. Ia hanya bertujuan menakutkan orang Melayu supaya menolak Kerajaan PH,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, adalah lebih mudah untuk Menteri Dalam Negeri membatalkan pendaftaran DAP sebagai parti politik, kerana ia sudah pasti akan melumpuhkan, dan seterusnya parti itu.

Ujarnya lagi, itu juga pernah kerajaan lakukan kepada Parti Komunis Malaya (PKM) pada waktu dahulu, sehingga parti itu menghentikan percubaan untuk merampas kuasa Kerajaan Malaysia.

“DAP bukan pun sekuat PKM. Tidak mungkin DAP berjaya di mana PKM dengan gerakan bersenjatanya gagal.

“Tetapi pembohongan ini berjaya mempengaruhi Presiden dan beberapa pemimpin Bersatu membuat keputusan untuk keluar dari Pakatan Harapan. Dengan ini saya pun terkeluar dari menjadi Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan. Peletakan jawatan oleh saya tidak dapat dielak,” katanya lagi.