Dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa bekas pemimpin parti Islam itu yang menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) pernah mencadangkan pemindaan perlembagaan Pas, adalah tidak berasas, kata Hanipa Maidin.

Menulis di Facebooknya, Hanipa yang merupakan Ahli Jawatankuasa Amanah menjelaskan, Pas pernah bekerjasama dengan parti lain sebelum ini tanpa perlu meminda perlu meminda perlembagaan parti.

"Di mana logiknya dan rasionalnya bila dia (Abdul Hadi) dakwa ada usaha untuk pinda perlembagaan parti suci (Pas) bagi nak mudahkan kerjasama dengan parti lain khususnya DAP.

"Jika ini bukan temberang, apa namanya?" katanya.

Dalam satu sidang media di Pokok Sena, Abdul Hadi mendakwa bekas pemimpin Pas yang kini menubuhkan Amanah cuba membawa usul meminda perlembagaan Pas, bagi mengurangkan peranan Majlis Syura Ulamak sebagai badan tertinggi parti kepada badan penasihat.

Menurutnya, cadangan itu cuba dijadikan usul dalam Muktamar 2015 dan mendapat bantahan akar umbi termasuk ditolak dalam mesyuarat Pusat kerana ia bercanggah dengan perlembagaan Pas.

Abdul Hadi berkata, tujuan cubaan meminda perlembagaan parti itu adalah bagi memudahkan kerjasama dengan parti lain khususnya DAP.

BACA: Hadi dedah sebab utama Pas tolak Amanah