Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dakwaan bahawa terdapat hampir RM1 juta di dalam akaun peribadinya.

Beliau yang ditemui Astro AWANI berkata dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali dan pihak yang mendakwa itu boleh membuat laporan mengenainya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bila-bila masa.

“Saya cabar untuk mereka melakukan laporan SPRM dan PDRM kerana saya telahpun mengisytiharkan aset saya. Dan pengisytiharan tersebut merupakan pengisytiharan yang telus dan penuh berintegriti. Kalau ada unsur penipuan, saya boleh disekat oleh SPRM,” katanya yang ditemui selepas hadir dalam program Mat [email protected] pada Sabtu malam.

Beliau sendiri tidak tahu pihak mana yang membuat dakwaan itu namun beliau tidak takut dan bersedia berdepan dengan sebarang tindakan jika benar.

Ini kerana jelasnya kemasukannya ke dalam politik adalah untuk membersihkan politik itu sendiri daripada rasuah, kronisme dan juga penyalahgunaan kuasa.

Ketelusan itu lebih berkesan jelasnya kerana ketika ini SPRM sudah bebas dan tidak lagi lapor kepada Perdana Menteri seperti sebelum ini tetapi melaporkannya kepada Parlimen.