Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau terlibat dalam isu salah laku dan mencabar PKR melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya memandang serius tuduhan salah laku yang dilemparkan oleh Setiausaha Agung Keadilan Datuk Saifuddin Nasution. Saya menafikan dakwaan ini kerana tidak benar sama sekali," kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.

"Sekiranya Dato’ Saifuddin yakin beliau juga berada di pihak yang benar, maka beliau dan rakan-rakan dalam Keadilan sepatutnya membuat laporan dengan kadar segera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya.

Abdul Khalid dalam kenyataannya menyatakan kesediaan untuk bekerjasama jika disiasat pihak pihak berkuasa.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan kesediaan untuk memberikan sepenuh komitmen dan kerja sama sekiranya ada siasatan dijalankan terhadap saya," katanya.

Khalid turut tidak menolak tindakan undang-undang akan diambil ke atas pemimpin dalam PKR susulan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

"Saya berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadap saya," katanya lagi.

Awal hari ini, Saifuddin berkata akan mendedahkan sebab disebalik usaha penyingkiran Abdul Khalid dari jawatan yang disandangnya sekarang.

Saifuddin berkata antara kandungan laporan tersebut adalah kes-kes mahkamah yang boleh dipersoalkan mengenai integriti Abdul Khalid sebagai seorang penjawat awam.

Antara kes yang diperkatakan adalah sebuah kes yang diselesaikan di luar mahkamah membabitkan saham Kumpulan Guthrie Berhad bernilai RM66.67 juta semasa Abdul Khalid memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu.

fb khalid