Ketika Kelantan teruk dilanda banjir, masalah dalam Pakatan Rakyat pula semakin meruncing apabila DAP memberi amaran akan memboikot mesyuarat gabungan tersebut yang dijadualkan Januari depan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tetap bersidang untuk membolehkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang mengandungi hukum hudud dilakukan, beliau tidak akan hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

“Jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bersidang untuk membolehkan pelaksanaan hudud, yang anggota jawatankuasa pusat PAS sendiri tidak mengetahuinya, saya tidak nampak apa tujuannya hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan akan datang.

“Dan saya serahkan pada parti untuk memutuskan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menjangkakan PAS bakal kehilangan sokongan dalam pilihan raya umum akan datang jika mereka mengkhianati permuafakatan dalam PR sendiri.

"Saya tidak lihat persidangan khas DUN Kelantan pada 29 Disember boleh menjamin PAS akan terus berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang, tetapi yang menjadi korban adalah hilang negeri Kelantan dan Putrajaya kerana memungkiri janji kepada pengundi PR dan rakyat Malaysia.

"Kita perlu menunggu Pilihan Raya Umum ke-14 untuk melihat akibatnya," kata Lim.

Pengumuman kerajaan Kelantan untuk mengemukakan pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 mencetuskan pelbagai reaksi, dengan DAP antara paling lantang membidas langkah tersebut.

DAP berkata tindakan PAS itu seperti melanggar tahaluf siyasi yang dipersetujui Pakatan Rakyat.

Tindakan kerajaan Kelantan itu menyebabkan hubungan antara parti dalam Pakatan Rakyat retak khususnya ketika berlaku krisis menteri besar Selangor.

PAS Kelantan dikatakan tidak merujuk Jawatankuasa PAS Pusat sebelum memutuskan untuk memanggil sidang khas pada 29 Disember ini.

Jawatankuasa PAS Pusat sebelum ini dalam satu mesyuaratnya memutuskan supaya perkara berkaitan dibincangkan terlebih dahulu dengan Jawatankuasa Teknikal mengenai hudud yang dicadangkan oleh UMNO.