Susulan persaingan hebat dari calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini, DAP mengakui berdepan cabaran sukar bagi mengekalkan kerusi di N46 Dudong, Sibu selepas hanya memperoleh majoriti tipis sebanyak 317 undi pada PRN lepas.

Kegusaran itu disuarakan penyandang iaitu calon DAP Yap Hoi Liong yang menyifatkan pesaingnya, calon langsung BN Datuk Tiong Thai King kini lebih bersedia merampas kerusi berkenaan selepas kalah kepada Yap dalam perebutan kerusi yang sama pada PRN 2011.

"Saya pasti ketika itu beliau (Tiong) belum cukup bersedia pada pilihanraya negeri lalu. Namun kalau melihat keadaan sekarang, beliau dilihat lebih bersedia. Lebih-lebih lagi dengan bantuan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan sokongan daripada enam syarikat besar. Bagi DAP pula, kami berdepan pelbagai kekangan dalam PRN kali ini, termasuk kekurangan sumber kewangan mahupun tenaga kerja," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Sibu.

Malah, Yap menjangkakan peluang kemenangan di kerusi berkenaan kurang daripada 50 peratus ekoran persaingan kuat daripada Tiong.

"Sangat bahaya. Saya rasa peluang kemenangan kurang daripada 50 peratus. Ini sangat bahaya buat kami, kecuali peratusan keluar mengundi dapat mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus di Dudong. Jika tidak, memang susah untuk kami pertahankan kerusi ini," katanya.

Kerusi Dudong merupakan antara 70 kerusi yang diintai BN untuk menang dalam PRN Sarawak ke-11.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sebelum ini melahirkan keyakinan untuk merampas semula kerusi itu daripada tangan DAP susulan kegagalan DAP untuk membawa pembaharuan di kawasan berkenaan dalam tempoh 5 tahun.

N46 Dudong menyaksikan pertandingan 5 penjuru antara penyandang dan calon DAP, Yap Hoi Liong, calon langsung BN, Datuk Tiong Thai King, Mary Ting (STAR), dan dua calon bebas Datuk Seri Dr Benny Lee dan Casper Kayong.

Proses pengundian bakal berlangsung esok.