Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menyanggah laporan yang mendakwa partinya memberi tekanan kepada menteri besar Ahmad Faizal Azumu berhubung isu hak milik kekal tanah.

Sebaliknya, beliau mendakwa hubungan DAP dengan Ahmad Faizal berada dalam keadaan baik, malah mereka bekerja sebagai satu pasukan serta saling hormat-menghormati.

"DAP Perak akan berdiri teguh bersama YAB Menteri Besar dan memberi sokongan padu kepada pimpinan beliau supaya Pakatan Harapan (Harapan) membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh rakyat negeri Perak serta membawa pembangunan ekonomi pesat kepada negeri kita yang tercinta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut mengenai isu berkenaan, Kor Ming berkata Harapan komited untuk melaksanakan semua janji yang termaktub dalam manifesto.

"Sebenarnya saya tidak pernah bangkitkan isu hak milik kekal, sebaliknya apa yang berlaku adalah apabila saya ditanya oleh pemberita Bernama.

"Saya hanya nyatakan Harapan adalah komited untuk melaksanakan semua janji yang termaktub dalam manifesto dan ini adalah kata-kata yang sama dengan ucapan penggulungan YAB Menteri Besar Perak Sdr Ahmad Faizal bin Dato Azumu di persidangan Dewan Negeri Perak baru-baru ini," katanya lagi.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan DAP bertegas mahu kerajaan negeri menunaikan janji untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada tanah kampung baharu seperti yang terkandung dalam tawaran Harapan Perak untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).