DAP Perak mengakui keputusan Pakatan Harapan untuk mengunakan satu logo, Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah mendapat pelbagai reaksi dari ahli akar umbinya sehingga ada yang menangis.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, walaupun segelintir mereka mempuyai pendapat sendiri mengenai keputusan berkenaan namun majoritinya menerima baik langkah terbabit.

“Sudah tentu kita mendapat pelbagai reaksi dari penyokong tegar dan veteran kita, sesetengah daripadanya hingga menangis, ini kerana anda tidak boleh menafikan roket (lambang DAP) berada di hati kebanyakan orang termasuk hati saya juga.

“Namun kita adalah manusia biasa, kita mempunyai perasaan namun kadang-kadang misi itu lebih penting daripada emosi,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Sabtu.

Justeru, Kor Ming berkata ahli partinya itu kini mempunyai tugas besar untuk memperjelaskan agenda sebenar di sebalik keputusan untuk menggunakan satu logo pada PRU14 kepada para pengundi di negeri ini walaupun berdepan cabaran masa.

“Kita bersaing dengan masa ketika ini, tanggungjawab kita semua (Ahli dan Calon DAP) sekarang adalah untuk memperjelaskan kepada pengundi mengenai keputusan menggunakan satu logo ini.

“Ini adalah agenda utama perjuangan kami bahawa Malaysia mempunyai sistem dua parti, ini adalah langkah positif secara keseluruhannya kerana boleh memberi keyakinan kepada pengundi semua kaum,” ujarnya.

Dalam sidang media sama, beliau juga turut mengumumkan, Ketua Wanita DAP Perak dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, Lim Pek Harr tidak akan bertanding pada PRU14 bagi memberi laluan kepada calon yang lebih muda.

Beliau juga memberitahu Pakatan Harapan Perak akan melancarkan manifestonya pada Selasa depan.