DAP Sarawak memberi kata dua kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memilih sama ada ingin kembali bekerjasama dengan parti itu atau PAS.

Pengerusinya, Chong Chieng Jen menegaskan, DAP negeri itu tidak akan meneruskan sebarang kerjasama dengan PKR jika masih ada hubungan politik antara PKR dan PAS.

"Sekarang ia adalah antara PAS dan PKR. Syarat kami mudah sahaja. Kami boleh bekerjasama dengan PKR jika mereka tidak bekerjasama dengan PAS.

"Pendirian ini adalah sama dengan DAP di peringkat Kebangsaan," jelas beliau semasa sidang media mengenai inisiatif Impian Sarawak di ibu pejabat DAP di sini.

Tambahnya, ia berikutan keadaan itu agak 'janggal' kerana hubungan DAP-PAS sudah bermasalah sebelum keputusan dibuat Muktamar PAS.

"Jadi ia agak janggal juga kerana kami tidak bekerjasama dengan PAS tapi menjalin kerjasama dengan PKR yang disifatkan masih lagi bersama PAS.

"Konflik itu dimulakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa bulan lalu, iaitu pada Mac, DAP buat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PAS tetapi sekarang PKR masih bekerjasama dengan PAS," tambahnya.

Beliau juga berpendapat, PKR perlu membuat keputusan muktamad berhubung isu berkenaan.

"Mereka (PKR) sepatutnya sudah membuat keputusan dan memilih antara DAP atau PAS. Namun di sini bukan soal siapa kawan atau siapa lawan.

"Bagi DAP Sarawak, ideologi politik PAS tidak ada tempat di Sarawak," ujar beliau.

Sebelum ini, Chieng Jen mengumumkan keputusan DAP Negeri untuk keluar daripada Pakatan Rakyat kerana kecewa dengan tindakan PAS yang mahu melaksanakan hukum Hudud di Kelantan.

Beliau mendakwa PAS menyeleweng dari dasar bersama PR apabila berhasrat melaksanakan undang-undang berkenaan.