DAP telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu, Ronnie Liu berikutan cadangan beliau agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Chong Chieng Jen yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya kini menunggu jawapan daripada Liu.

"Sekarang surat tunjuk sebab telah dikeluarkan dan kita tunggu dia jawab dan selepas itu kita akan buat keputusan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Liu yang menyatakan gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa Bersatu pada 22 Okt lepas.

BACA: Semua ulasan dan pendapat saya luahkan dibuat dengan tulus hati - Ronnie Liu

BACA: Kenyataan Ronnie Liu biadab, tidak hormati Perdana Menteri - Bersatu

BACA: Kenyataan biadab: Armada Bersatu beri tempoh seminggu kepada Ronnie Liu atau...

Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Chong berkata pihaknya akan meneruskan proses sepatutnya berhubung isu itu.

Ditanya adakah DAP menetapkan jangka masa untuk Liu membalas surat tunjuk sebab itu, Chong dalam jawapan ringkasnya berkata:"Ada, tapi saya tak nak bincang mengenainya".

-- BERNAMA