Datuk Seri Najib Razak hari ini melahirkan kekesalan atas sikap segelintir pihak yang sudah menikmati ‘segala-galanya’ sewaktu berada di dalam kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), namun akhirnya memilih untuk ‘menikam belakang’ kepimpinan masa kini.

Perdana Menteri berkata, situasi ini amat berbeza dengan penyokong serta ahli setia UMNO dan BN yang masih tetap bersama parti, walaupun nikmat yang mereka kecapi tidak sebanyak pihak-pihak yang mengkhianati parti itu.

“Tuan-tuan dan puan-puan bukan dapat segala-galanya, malangnya yang dapat macam-macam daripada UMNO, jawatan tinggi, pendapatan yang kaya, tetapi akhirnya sanggup dia menikam UMNO dalam saat seperti ini.

"Tuan-tuan tak dapat apa-apa pun, ikut rezeki masing-masing. Tetapi, saya tabik tuan-tuan dan puan-puan semua, pejuang sejati yang kasih, sayang pada UMNO dan BN,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 600 veteran Parlimen Pekan di Sri Kenangan, Peramu Jaya, di sini.

Atas faktor itu, Najib berikrar akan terus memperjuangkan legasi ayahandanya, yang juga perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak, dalam memastikan nasib rakyat, khususnya masyarakat Pekan, terus terbela.

Najib mengucapkan terima kasih kepada warga veteran Pekan yang sentiasa menyokong perjuangannya sepanjang 42 tahun karier politiknya. Astro AWANI / FIRDAUS AZIL

Dalam tempoh kurang 24 jam sebelum hari mengundi, beliau yang juga Pengerusi BN turut melahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada veteran Pekan, yang menyokong teguh beliau sepanjang 42 tahun berkecimpung dalam dunia politik.

“Saya nak menyatakan terus-terang tuan-tuan, walaupun saya duduk di kerusi Perdana Menteri di Putrajaya, saya tak mungkin memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan dan parti, kalau tuan-tuan dan puan-puan tidak menyokong saya sejak 42 tahun yang lalu.

“Saya memang menganggap sokongan ini satu perkara yang cukup bernilai, meskipun bila terpaksa menanggung tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, sudah tentu saya dikehendaki memberi perhatian kepada seluruh negara, bukan saja kepada Parlimen Pekan,” katanya lagi.

Mengimbas kembali tempoh terawal beliau menceburi politik di kawasan itu, Najib berkata, ramai yang agak skeptikal sama ada beliau mampu atau tidak menggantikan Allahyarham Tun Razak sebagai wakil rakyat Pekan pada usia yang cukup muda, iaitu 23 tahun.

“Barangkali ramai tengok saya ini ketika itu, walaupun tak keluar ayat itu, tapi saya boleh baca apa dalam kepala dia, bolehkah budak ini… atau, ada yang kata dalam kepala dia, budak berhingus ini, bolehkah dia mewakili kita semua.

“Walaupun banyak dugaan dan ujian yang dihadapi, tetapi saya tak pernah putus asa, saya tak pernah rasa beban. Apa juga cabaran dan dugaan, saya akan terus sedaya upaya atasi, atau tempuhi, hingga berjaya,” katanya lagi.


Najib yang juga Presiden UMNO berkata, pelbagai ujian dan cabaran yang beliau tempuhi sepanjang tujuh tahun berada di luar negara sewaktu mudanya, menjadikan dirinya seorang yang kental dan tidak mudah menyerah kalah.

“Jadi, kalau siapa pun cuba nak tumbangkan saya, dia tak tahu, dalam hati, dalam diri saya ini, ada semangat kekuatan ketahanan yang telah diuji waktu saya kecil lagi.

“Saya tak mudah menyerah kalah. Saya akan tetap berjuang, sebab misi saya belum habis lagi,” tambahnya.

Mengakhiri ucapan, Najib berharap agar warga Pekan dan masyarakat Malaysia dapat terus memberi sokongan dan mandat agar BN dapat menerajui semula kepimpinan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.