Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Darell Leiking menyatakan rasa kesal dan kecewa terhadap parti-parti politik tertentu yang menggunakan sentimen perkauman demi mencapai matlamat mereka.

Leiking yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata walaupun beliau berasal dari suku kaum Kadazan tetapi beliau tidak pernah menggunakan sentimen asal-usulnya dalam platform politik.

"Bagi mereka yang masih menggunakan sentimen kaum untuk mencapai matlamat politik, saya berasa kesal," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program tanggungjawab sosial korporat, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, pada Jumaat.

Leiking, yang juga Anggota Parlimen Penampang, berkata parti-parti politik di Sabah sepatutnya menyatukan semua bangsa dan kumpulan etnik.

Beliau mengulas laporan berita yang disiarkan menerusi portal berita dalam talian bertajuk "Post-GE: Sabah KDM still searching for unity". Tiga parti utama majoriti Kadazandusun Murut (KDM) di Sabah ialah Upko, PBS dan PBRS.

-- BERNAMA