PUTRAJAYA:Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menentukan sama ada darurat perlu diisytiharkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah dan Parlimen Gerik, Perak.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata KKM akan melakukan penilaian risiko penularan COVID-19 di kawasan terbabit sebelum sebarang pengumuman dibuat berhubung perkara tersebut.

"Saya percaya SPR akan berbincang dengan pihak KKM dan MKN bagi menentukan tindakan yang patut dilakukan oleh SPR.

"Tidak tahu sama ada perlu darurat atau tidak, kita serahkan kepada perbincangan seterusnya.

BACA: Pengundian PRK Gerik, Bugaya serentak pada 16 Jan - SPR

"Pihak kerajaan seperti saya katakan, kita tidak campur tangan perkara seperti ini kerana SPR merupakan sebuah badan bebas dan mereka perlulah menentukan sama ada perlu diadakan pilihan raya ataupun ditangguhkan melalui pengisytiharan darurat," katanya dalam sidang media, di sini pada Jumaat.


Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata keputusan untuk mengisytiharkan darutat tidak menyebabkan kehidupan rakyat terjejas, sebaliknya ia hanya untuk menangguhkan pilihan raya.

"Apabila kita mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, bukan bermakna seluruh Batu Sapi dikawal tentera dan perintah berkurung.

"Sebaliknya, kehidupan dan perniagaan berjalan seperti biasa. Yang berubah ialah tarikh pilihan raya boleh ditunda kerana perisytiharan darurat.

"Bagi DUN Bugaya dan Parlimen Gerik, saya berharap KKM akan membuat penilaian risiko dan berbincang dengan SPR," jelasnya lagi.

Terdahulu, SPR memaklumkan PRK bagi Parlimen Gerik dan Dun Bugaya dilaksanakan secara serentak di mana hari pengundian ditetapkan pada 16 Januari 2021.