Debat Syed Saddiq dan Razali di Muar mungkin tidak diadakan

Debat Syed Saddiq dan Razali di Muar mungkin tidak diadakan
Keputusan tidak membenarkan debat itu diadakan dibuat selepas mengambil kira banyak faktor termasuk ketenteraman awam.
MUAR: Program Debat P146 - PRU14: BN atau PH yang dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di sini, malam ini tidak akan diadakan kerana gagal mendapat permit polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, keputusan tidak membenarkan debat itu diadakan dibuat selepas mengambil kira banyak faktor termasuk ketenteraman awam.

“Pada pandangan kami program debat ini tidak sesuai. Untuk memelihara ketenteraman awam kita tidak akan membenarkannya. Ini adalah berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Polis tiada halangan untuk parti politik berkempen tetapi pelaksanaan sesuatu program itu mesti mengikut lunas undang-undang. Soal ketenteraman awam, kita (polis) yang akan buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program High Profile Policing (HPP) di Dewan Serbaguna Pekan Pagoh di sini, hari ini.

Selain itu, kata Mohd Khalil pihak penganjur juga memberi notis dalam tempoh yang amat singkat kira-kira jam 10.30 pagi tadi bagi memaklumkan program berkenaan dan bukannya untuk memohon permit.

Tambahnya, jika pihak penganjur bertegas mahu meneruskan program debat berkenaan, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan haram.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan jika penganjur berhajat untuk meneruskan juga program perlu menggunakan kaedah lain secara aman dan tenteram, selain perlu mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata, pihaknya juga menyeru kepada semua pihak khususnya penyokong supaya tidak perlu hadir dan datang pada program berkenaan, malam ini.