Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dilabel sebagai 'hantu' kerana masih menghadiri sesi Dewan Rakyat walaupun sudah digantung selama enam bulan bermula Rabu lalu.

Kekecohan tercetus di Dewan Rakyat selepas Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) merujuk kepada peraturan mesyuarat untuk meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, mengarahkan Kit Siang keluar

"Ini menghina Dewan, Tuan Speaker.

"Semalam, Gelang Patah sudah digantung enam bulan daripada persidangan tetapi ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul persempadanan semula, Gelang Patah masih berada dalam dewan," kata Zulkifly.

Pandikar Amin kemudian menjawab dengan nada sinis bahawa beliau 'tidak nampak' Kit Siang di dalam dewan.

Kekecohan bertambah teruk ketika Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar ingin membentangkan Rang Undang-undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2018 dimana Kit Siang terus bertanya kepada Pandikar Amin berhubung statusnya.

Akibat kecewa diganggu ketika pembentangan, Noh meneruskan ucapannya tanpa mengendahkan Kit Siang.

Ketika itu, Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) bangun untuk menyatakan dengan nada berseloroh bahawa "ada suara hantu".

Keadaan Dewan Rakyat terus bising apabila beberapa Ahli Parlimen dari Kerajaan dan pembangkang bertekak berhubung penggunaan perkataan 'hantu'.

Selepas beberapa ketika, setelah pertengkaran berakhir, Pandikar Amin meminta supaya urusan mesyuarat diteruskan.

Pada Rabu, Kit Siang telah diarahkan untuk keluar dari Dewan Rakyat kerana menganggu prosiding.

Namun, akibat keengganannya untuk mengikut arahan, Pandikar Amin telah mengarahkan supaya beliau digantung menerusi usul di bawah Peraturan Mesyuarat 44(3) sebelum menangguhkan mesyuarat.

Sejurus selepas sesi disambungkan, tiada usul penggantungan namun Pandikar Amin menegaskan bahawa Kit Siang sepatutnya tiada di Dewan.

Kit Siang bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak pasti dengan statusnya di Dewan Rakyat dan akan terus menghadirinya.