Usul persempadanan semula kerusi pilhan raya Sarawak tersenarai dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam aturan tersebut, dinyatakan bahawa Perdana Menteri akan mencadangakn usul tersebut di bawah Seksyen 10, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

Draf bagi Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak 2015) telah dibentangkan dalam Dewan ini pada 26 November 2015.

Ia dibentangkan bersama Laporan Suruhanjaya Pilihanraya bertarikh 19 Oos 2015 mengenai kajian semula Persepadanan mengenai syor-syor yang dicadangkan bagi bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di Sarawak kali keenam bagi tahun 2015.

Walaubagaimanapun, usul tersebut tidak semestinya dibentangkan hari ini berikutan masih ada perbahasan di peringkat jawatankuasa untuk Bajet 2016 di beberapa kementerian.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dilaporkan berkata, jika cadangan itu diluluskan, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan bertambah daripada 71 kepada 82 pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN) nanti, dijangka pada tahun hadapan.