Dewan Ulama, Muslimat dan Pemuda PAS Pulau Pinang hari ini menyatakan sokongan dan berdiri teguh mempertahankan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu hudud.

Ketiga-tiga cabang PAS Pulau Pinang itu dalam kenyataan bersama hari ini berkata tindakan DAP memutuskan hubungan dengan presiden PAS bermaksud memutuskan hubungan dengan PAS keseluruhannya.

Ketua Dewan Ulama PAS Pulau Pinang Mohd Fauzi Yusof, Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang Hasanah Idrus dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah dalam kenyataan bersama itu, berkata hubungan dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan yang bersifat parti dengan parti, bukan individu dengan individu.

"Kami kesal terhadap tuduhan tidak jujur dan tidak bermaruah ke atas presiden PAS yang kononnya telah bekerjasama dengan UMNO untuk melanggar semangat konsensus Pakatan Rakyat.

"Kami menggesa supaya tuduhan ini ditarik balik serta merta, melainkan jika DAP benar-benar mahu Pakatan Rakyat berkubur," menurut kenyataan itu.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata DAP akan memutuskan hubungan dan menghentikan kerjasama dengan Abdul Hadi kerana bertindak secara tidak jujur dan bermaruah dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu menyebut, PAS sewajarnya mempunyai hak untuk mengemukakan rang undang-undang berkaitan hudud kerana Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

"Sama ada rang undang-undang itu diterima atau sebaliknya, ia bergantung kepada keputusan yang akan dibuat dalam Parlimen kelak," menurut kenyataan itu.

Selanjutnya tegas kenyataan itu, Dewan Ulama, Muslimat dan Pemuda PAS Pulau Pinang juga bersedia untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja termasuk DAP bagi menyampaikan dakwah mengenai keindahan Islam yang bersifat universal.