Dewan Ulama PAS Pusat hari ini sebulat suara meluluskan usul tindakan disiplin dikenakan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang dan Morib.

Usul tersebut yang dibawakan oleh perwakilan Selangor, Mohd Shamsuddin Ahmad mendapat sokongan dari perwakilan Wilayah Persekutuan, Mohd Ali Yamin.

"Mengambil tindakan yang tegas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang dan Morib yang bertindak dengan menandatangani Akuan Bersumpah menyokong Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor tanpa pengetahuan dan persetujuan parti," kata Mohd Shamsuddin ketika membacakan usul tersebut.

Adun Hulu Kelang, Shaari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin bertindak luar dugaan apabila menandatangani Akuan Bersumpah menyokong Wan Azizah untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dua Adun tersebut menyatakan sokongan kepada Wan Azizah selepas Abdul Khalid dipecat dari PKR.

Tindakan Shaari dan Hasnul itu mendapat kritikan hebat beberapa pemimpin PAS kerana keputusan dibuat sebelum Jawatankuasa PAS Pusat mengadakan mesyuarat.