Dewan Ulama PAS Pusat melalui Multaqa Ulama Se-Malaysia hari ini telah bersetuju menetapkan 15 resolusi yang perlu dituruti oleh kesemua perwakilan Ulama PAS dari seluruh negara.

Berikut adalah resolusi-resolusi tersebut:

1. Seluruh kepimpinan DUPP dan peserta Multaqa merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat di atas pemergian Allahyarham menemui penciptanya. Segala hasrat dan inspirasi perjuangan Islam Allahyarham yang masih belum terlaksana akan diusaha dan diperjuangkan sehingga dapat direalisasikan menjadi kenyataan.

2. Multaqa Ulama Se-Malaysia ll kali ini menyeru dan menuntut setiap pemimpin dan ahli PAS supaya beristiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam, memandangkan cabaran dan tribulasi perjuangan PAS pada hari ini semakin mencabar dari luar dan dalam.

3. Multaqa Ulamak Semalaysia ll turut mengambil ketetapan untuk menyokong usaha Kerajaan Kelantan bagi mengemukakan rang undang undang persendirian ke Parlimen untuk pelaksanaan hudud di Kelantan meskipun dibantah oleh DAP dan PKR.

4. Berazam dan bertekad untuk melipatgandakan usaha bagi mempertahan dan memperjuangkan dasar dan pegangan PAS yang berlandaskan lslam. Dasar ini tidak pernah berubah dari dahulu hinggalah sekarang. Matlamatnya yang telah jelas iaitu:

i. Menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan serta berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah.

ii. Bercita-cita melaksanakan hukum Allah di dalam pemerintahan dan seterusnya mendirikan Daulah Islamiah.

5. Bersatu dengan merujuk dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah adalah wajib bagi membina kekuatan kesatuan amal dan fikrah (wahdatul fikri wa wahdatul amal) diperingkat anggota parti supaya dapat bertahan dalam berhadapan dengan gelombang dan arus yang mencabar.

6. Walak dan Ketaatan kepada Ketua adalah wajib menurut al-Quran dan Sunnah. Punca kepada perpecahan ialah tiadanya walak dan ketaatan kepada Ketua. Justeru, Multaqa Ulamak SeMalaysia ll menekankan tentang kewajipan setiap ahli untuk memberikan ketaatan kepada Majlis Syura Ulamak dan Presiden sebagai ketua syarie dalam PAS selagi mana tidak bertentangan dengan nas Al-Quran dan As Sunnah. Ahli diperingatkan agar tidak melanggar baiah yang telah diikat antara dirinya dan Allah SWT. Sekiranya berlaku pelanggaran maka ia dikira sebagai pengkhianatan kepada parti.

7. Sebarang bentuk pelanggaran arahan Majlis Syura Ulamak dan keputusan Presiden adalah satu kesalahan mandatori dalam undang-undang PAS walau apa jua alasan dan sebab yang diberikan serta jawatan yang disandang.

8. Menyeru kepada pemimpin dan ahli PAS agar menjauhi pemikiran Islam Liberal yang mengetepikan pelaksanaan syariat dan mengambil tanggungjawab membendungnya. Aliran pemikiran tajaan barat ini dilihat mula bertapak dalam PAS yang membuatkan sebilangan anggota PAS telah tersasar matlamat sebenar perjuangan Islam iaitu mendaulatkan syariat Allah SWT.

9. Semua ahli PAS perlu mengambil tanggungjawab membendung sebarang anasir yang cuba menebuk bahtera PAS termasuklah akhlak buruk mencerca dan menghina para Alim Ulamak yang soleh di media maya secara khususnya.

10. Bagi memastikan anasir-anasir perosak di dalam PAS tidak berterusan melakukan mungkar di dalam PAS, Dewan Ulama PAS Pusat menggesa pihak Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melalui Jawatankuasa Disiplin agar mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana pemimpin dan ahli PAS yang terlibat dengan PASMA.

11. Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat agar menyegerakan siasatan berkaitan akuan berkanun berkenaan terdapat kumpulan dan gerakan yang terdiri dari kalangan AJK PAS Pusat untuk menjatuhkan Presiden PAS melalui cara yang tidak syarie dan tidak berakhlak dengan menggunakan medium komunikasi WhatsApp. Tindakan tatatertib dan disiplin perlu diambil melalui sebuah jawatankuasa khas yang bukan dianggotai oleh AJK PAS Pusat dan hendaklah dipantau oleh Majlis Syura Ulamak.

12. Dewan Ulamak PAS Pusat sentiasa mengambil langkah memantau dan mengkaji kedudukan Tahaluf bersama Pakatan Rakyat. Dewan Ulamak PAS Pusat turut mengingatkan pemimpin dan ahli PAS supaya jangan sampai ada berlaku wala kepada rakan tahaluf, kita bekerjasama untuk mencapai tujuan yang disepakati tanpa mengenepikan dasar PAS. Prinsip-prinsip islam jangan dibiarkan dan tidak dipertahankan demi menjaga tahaluf siyasi.

13. Permasalahan ekonomi negara pada hari ini hanya dapat diselesaikan menerusi solusi Islam yang merujuk kepada al-Quran dan Sunnah yang menegaskan dasar pengurusan ekonomi oleh tangan yang amanah, berhemah dalam perbelanjaan, menolak sumber pendapatan berasaskan percukaian yang zalim dan perkongsian ekonomi yang adil dan bersifat rahmah antara kaya dan miskin tanpa diskriminasi, manipulasi dan monopoli.

14. Pemimpin dan ahli hendaklah melengkapkan diri mereka dengan tarbiyyah Islamiah yang syumul bagi mencapai kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

15. Perjuangan Islam tidak boleh lari daripada mehnah dan cubaan , maka Multaqa mengambil pendirian supaya munajat dan solat hajat hendaklah dianjurkan oleh semua kawasan semua PAS di selamatkan daripada anasir-anasir yang boleh merosakkan parti dan Islam di negara ini.

Multaqa Ulama SeMalaysia kali ke-2 itu telah diadakan di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya pada Sabtu.