Program diskusi melibatkan semua calon bertanding bagi kerusi parlimen Muar dibatalkan atas persetujuan bersama ketiga-tiga calon setelah mengambil kira isu dan soal keselamatan.

Menurut Pegawai Daerah Muar, On Jabbar@Ja`afar, sesi perbincangan melibatkan semua calon dan wakil mereka telah berlangsung lebih awal daripada waktu yang ditetapkan.

“Dalam jam 12 tengah hari, kami adakan perbincangan bersama wakil dan saya berpendapat ia tidak sesuai dilakukan kerana bimbang dengan perkara luar jangkaan yang mungkin tercetus.

“Pada masa sama, saya turut adakan perbincangan dengan calon ini sendiri kira-kira jam 5 petang tadi memaklumkan keputusan ini sebelum ia turut dipersetujui oleh dua calon terlibat yang mana proses perdebatan ini tak akan berlaku,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Muar, di sini, petang tadi.

Menurut On, pihaknya mengakui tidak dapat meneruskan sesi perdebatan bagi dua calon berkenaan selepas mendapati kebarangkalian isu keselamatan yang mungkin berbangkit meskipun ia diadakan secara tertutup.

“Pas sejak dari awal telah mengatakan pendirian mereka untuk tidak menyertai debat atas alasan konsep ini bukan wadah perjuangan mereka. Manakala bagi PKR, ini merupakan satu strategi perjuangan mereka untuk penjelasan isu semasa yang menyebabkan BN merasa sangat tercabar dengan pelawaan tersebut.

“Bagaimanapun, saya selaku pengerusi keselamatan daerah bersama pihak berkaitan telah membuat risikan semalam (sesi dialog) mendapati kalau program ini diteruskan pastinya menimbulkan isu keselamatan iaitu daripada segi penyokong.

“Berdasarkan pemerhatian saya semalam pun dapati terlalu ramai penyokong dan kalau program ini diteruskan, maka akan ada pertembungan penyokong daripada dua lawan. Kita bimbang kalau bertemu akan ada perbalahan sehingga keadaan tak terkawal.

“Sebagai contoh pada penamaan calon baru-baru ni pun tetap berlaku isu apabila ada penyokong yg merendahkan calon lawan ketika diumumkan meskipun penyokong dipisahkan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan kesemua calon untuk memanfaatkan tempoh kempen yang singkat ini secara aman tanpa memikirkan isu perdebatan.