PENGGEMPUR sensasi Safawi Rasid menjadi pemisah yang mendukung Johor Darul Ta'zim (JDT) ke separuh akhir Piala Malaysia menerusi kemenangan agregat 3-1 ke atas Pahang di Larkin, malam tadi.

Aksi suku akhir pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas pertemuan di Kuantan.

Kedudukan itu sudah cukup untuk menjamin laluan JDT ke separuh akhir berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Bagaimanapun, mereka tidak membenarkan elemen tuah menjadi penentu apabila pantas menyambar jaringan pendahuluan menerusi penyudah minit pertama Safawi.

Beberapa percubaan daripada kedua-dua pasukan menyusul, Ahmad Hazwan Bakri hampir menggandakan kedudukan pada minit kelapan serta Pahang menerusi percubaan Norshahrul Idlan Talaha sebelum tamat babak pertama.

Safawi, bagaimanapun, memastikan kemenangan mutlak JDT dengan ledakan pada minit ke-73.

"Kami lebih bertahan daripada menyerang dan para pemain serba tidak menjadi.

"Saya pun tidak sangka ini akan berlaku.

"Apatah lagi, JDT telah mempamerkan satu permainan berkualiti tinggi," kata Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh.

Sementara itu, Pengurus JDT Luciano Figueroa pula berkata pasukannya sudah beraksi sepertimana yang mereka inginkan.

"Kami beraksi sebagaimana kami hajati. Kami mempamerkan corak permainan menarik, hantaran bola rendah, cuba mengatur asakan dan mencari jaringan.

"Kami mencipta banyak peluang untuk meraih kemenangan. Saya sangat gembira dan tahniah kepada para pemain," ujarnya.