“Saya berharap apabila Dewan (Undangan Negeri) bersidang, majoriti akan menyokong Azmin (Ali).”

Itu harapan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, sekiranya Azmin gagal memperoleh sokongan majoriti maka krisis Menteri Besar Selangor mungkin akan terus berlarutan.

“Kalau majoriti tidak sokong Azmin, maka ia akan menjadi undi tidak percaya. Sudah tentu nanti kita terpaksa cari Menteri Besar lain lagi,” kata Dr. Mahathir.

Azmin dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pada Selasa lalu.

Antara keputusan awal yang dibuatnya ialah mengurangkan kuota EXCO Pas daripada empat kepada tiga.

Mengulas perkara itu, Dr Mahathir menegaskan sudah menjadi hak Menteri Besar untuk menambah atau mengurangkan kuota exco kepada mana-mana parti.

“Itu hak MB. kalau dia nak tambah pun boleh, nak kurang pun boleh.

“Kalau dia fikir kalau ahli Pas dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sudah mencukupi dia tak payah tambah atau pegang kepada (jumlah kuota) dahulu,” tegas Dr. Mahathir.


Tun Dr Mahathir ditemui ketika majlis memperkenalkan model prototaip 'crossover' Proton Iriz Active di Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam pada Ahad.