PAS menamakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru Dr Abdul Rani Osman sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada bulan hadapan.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis pengumuman calon PAS dan pelancaran jentera pilihan raya kecil di Markas Induk PAS Sungai Besar, di sini malam Jumaat.

Dr Rani merupakan seorang doktor perubatan dan memiliki sebuah klinik, Klinik Fitrah di Pekan Meru, Selangor.

Beliau yang memiliki ijazah dalam bidang perubatan daripada Universiti Tanta, Mesir menewaskan calon daripada Barisan Nasional Sukaiman Ahmad dengan majoriti 9,079 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

BACA: ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dinamakan calon BN PRK Sungai Besar

PRK Parlimen Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRU13, Allahyarham Noriah menewaskan lawannya daripada PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.