Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus mempersoalkan bila masanya kerajaan mahu menghapuskan tol seperti mana dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Melalui status terbaharunya di laman Facebook, Najib mengatakan beliau juga hairan dengan Ahli Parlimen Puchong dan Simpang Renggam yang sebelum ini didakwa lantang memperjuangkan isu berkenaan.

"Hari ini dah jadi kerajaan, baru cakap mustahil lebuh raya tanpa tol. Bukan main memekik 'Puchong' dan 'Simpang Renggam' sampai buat video dan poster berjuta-juta orang like dan tonton. Hari ini, apa cerita?
Inilah yang berlaku bila berjanji bukan ikhlas untuk rakyat tapi semata-mata tamakkan kuasa," katanya di Facebook hari ini.

Najib juga kecewa kerana beliau dan kerajaan sebelum ini dipersalahkan walaupun ada beberapa tol yang telah dihapuskan.

"Dulu sebelum jadi kerajaan, janji hapus tol. Siap kata kerajaan cuma perlu berapa ringgit je untuk buat sedemikian. Putar belit setiap hari padahal dia yang beri konsesi berat sebelah. Tapi Kerajaan BN dan saya Najib Razak yang dipersalahkan, walhal hampir setiap tahun saya umum hapus tol di beberapa kawasan," ujarnya.